Sunday, February 19, 2006
Menjulang Ilmu Memartabatkan Ulama

Keunggulan Ilmu Teras Keunggulan Ummah, tema Maal Hijrah tahun ini dijadikan mauduk satu siri ceramah di Masjid Terapung malam Sabtu lalu. Alhamdu Lillah, diri ini berpeluang untuk turut sama dalam majlis tersebut. Pengkaji ulama tersohor tanah air, Tuan Guru Wan Mohd Shaghir Abdullah telah dijemput khas sebagai penceramah jemputan. Barangkali sudah ramai yang mengenali Ustaz Wan Mohd Shaghir ini, bukan? ( Untuk makluman, Ustaz Wan Mohd Shaghir adalah salah seorang pembentang dalam Seminar Tasawuf di KUSZA minggu lalu. )

Boleh dikatakan agak sarat pengisian ilmiah yang terkandung dalam kuliah beliau. Adunan kisah para ulama Melayu, khususnya ulama-ulama di Terengganu yang turut diselitkan dengan mutiara taujih(nasihat dan pengajaran), tampak memberi kesan kepada jemaah untuk terus menadah telinga mengutip bicara Ustaz Wan Mohd Shaghir. 

Adakala terlihat kepada para jemaah yang melopong, termangu sendiri. Tidak upaya menangkap apa yang dalam disampaikan. Diakui agak berbelit juga untuk memahami lantaran terlalu kerap diulang-ulang perihal nasab ulama tertentu dan secara kurang teratur, sememangnya terbatas untuk memahami kuliah tersebut bagi mereka yang tidak memperhalusinya.

 

Usai solat Isyak, sempat juga berkitaran di sudut pameran yang diadakan. Kesemua yang dipamerkan adalah koleksi gambar Ulama-ulama nusantara beserta manuskrip, kitab-kitab dan rencana agama. Kedapatan juga kitab-kitab yang masyhur seperti Riyadhul Salikin, kitab-kitab karangan Sheikh Ahmad Al-Fatani, dan juga kitab tafsir Syair Sufi Hamzah al-Fansuri.

Ralit mengamati gambar-gambar ulama hingga tak tersedar kehadiran seorang pemuda di sebelah. Raut wajah jernih, tenang pemuda lingkungan 20-an itu. Dia menyapa lembut. Dia menegur apabila mendapati diriku asyik merakam secara fokus gambar-gambar ulama, satu persatu (Aduh, aku diperhatikan rupanya!). Hakcipta intelek perlukan keizinan terlebih dahulu, ujarnya penuh tutur kata yang lembut. Mengangguk faham.

Kami melebarkan bicara berkaitan tentang ulama Melayu. Ketiadaan orang lain (hanya diriku sahaja yang berada di situ) barangkali membuatkan penyelia pameran itu tergerak hati untuk bermesra seketika. Kami berbual-bual sambil diriku mengelih sekali sekala pada rencana-rencana ulama yang ditampal. 

Mantap juga lelaki yang ku bahasakan dirinya sebagai abang ini. Mana tidaknya, petah sekali bicaranya tentang ulama. Komentar bersahaja tentang sikap segelintir masyarakat Islam tentang penerimaan ulama dahulu kala, permasalahan berkenaan pendapat khilaf ulama dan lain-lain, menjungkit rasa penuh minat apabila mendengar kata-katanya.

Diriku memberi maklum balas positif. Makin rancak bicaranya seputar perihal ulama. Cukup terkesan pada diri ini apabila dia cuba menduga akal dengan kiasan 'gajah dan nyamuk'. Kiasan untuk memahamkan situasi yang dialami oleh ulama nusantara. Amat memberi satu input bermakna, sangat membantu dalam usaha untuk melusuri liku-liku hidup ulama dan mencintai perjuangan para alim rabbani.    

Zulumat malam yang makin merangkak memaksaku untuk beransur pulang. Khuatir kelewatanku ini menimbulkan kebimbangan orang tuaku. Kami bersalaman sambil pemuda itu (ah,lupa untuk bertanyakan namanya!) sempat berseloroh kepadaku.. (hurm..)..Diriku tergelak kecil. Bolehkah? 

Rasa syukur meresap di lubuk jiwa. Peluang yang jarang diperoleh ini dimanfaatkan sebaiknya. Tatkala diri ini terumbang-ambing di lautan kelalaian, diri ini penuh harap dapat menjernihkan hati yang pekat bukat hitam penuh noda sebaik menatap wajah-wajah pewaris Nabi dengan izin-Nya. Meski sekadar gambar, boleh jadi dapat memberi kesan pada jiwa. Mereka ini yang telah sampai ke makam tertinggi dalam mengenal Allah perlu kita kenali. Hayati perjuangan dan kisah hidup mereka. Rasa beruntung dan terharu bercampur baur. Peluang yang jarang diperoleh ini sepatutnya diwar-warkan. Hebahan perlu lebih meluas agar ramai lagi berkesempatan dengan program ilmiah sebegini.

Kala pulang, cepu minda diserbu satu persoalan. Ramai manakah agaknya generasi muda kini yang mengenali ulama-ulama melayu dahulu kala? Sekadar merenung jauh... Terngiang-ngiang hadis yang dibaca oleh Ustaz Wan Mohd Shaghir, mafhum,"Barangsiapa yang mempunyai rasa cinta kepada ulama walau sebesar zarah, akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan barangsiapa yang mempunyai rasa benci walau sebesar zarah, akan dimasukkan ke dalam neraka."

[Gambaran sekitar pameran Koleksi Khazanah Ulama Nusantara ]

Salaam~Smile~


Posted at 04:53 pm by sahabat_amin

osama_yamani
March 10, 2007   05:23 PM PST
 
semoga Allah sembuhkan tuan guru. Insya Allah kami akan mendoakan tuan guru supaya cepat sembuh dan diberkati atas segala usaha tuan guru membangkitkan pejuangan wali-wali Allah....
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Mohd Hazimin Harun





Arkib Blog



Laman Blog Baharu



-- Anda Pengunjung Ke --






rss feed